KUALA LUMPUR: Penantian ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lepas berakhir hari ini selepas semua 10 jenazah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan di tempat masing-masing.

Bermula dengan jenazah penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Kedah, semalam, sembilan mangsa lain dikebumikan secara berperingkat hari ini.

Selepas tiga hari insiden tragis itu berlaku, proses pengecaman dan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berjaya diselesaikan sehari awal berbanding jangkaan asal, esok.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, sebanyak 300 sampel cebisan mayat dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA yang melibatkan 30 pegawai patologi dan forensik dalam proses bedah siasat.

Beliau mengesahkan tiada lagi mana-mana individu yang terlibat dan terkorban selain daripada 10 mangsa itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pesawat terhempas di Elmina: Semua 10 jenazah selesai dituntut ahli keluarga

Turut tersenarai dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Dua lagi adalah orang awam iaitu Muhammad Hafiz dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.

Ketika insiden, pesawat jenis Beechcraft 390 Premier 1 itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang.

Polis menyiasat kes itu sebagai mati mengejut namun bagi Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), siasatan insiden berkenaan akan dilaksanakan dari aspek nahas tersebut.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata alat perakam suara kokpit (CVR) yang ditemukan daripada pesawat dihantar ke BSKU pada 18 Ogos untuk dianalisis.

Tumpuan kini adalah laporan awal siasatan nahas seperti dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan yang akan disediakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh insiden nahas udara itu.

Menurut MOT, siasatan teknikal berdasarkan Lampiran 13 - Kemalangan Pesawat dan Siasatan Insiden, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah dimulakan oleh pasukan BSKU dari tarikh kejadian kemalangan.

-- BERNAMA